Tuesday 29 March 2011

Kaum Cina semakin menerima 1Malaysia

by Steve Annuar. Posted on March 28, 2011, Monday

MIRI: Pemahaman kaum Cina di negeri ini terhadap konsep 1Malaysia yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak semakin mendalam dan diterima dengan perasaan muhibbah.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam melihat sokongan kaum Cina di Sarawak terhadap semangat 1Malaysia semakin kuat kerana mereka percaya dan yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu menyeimbangkan taraf hidup semua kaum.

Bagaimanapun beliau tidak menyangkal atau menafikan terdapat segelintir pihak dan kumpulan khasnya dari golongan pembangkang yang memutarbelitkan konsep 1Malaysia untuk mendapatkan perhatian dan undi rakyat pada musim pilihan raya sekarang.

“Setakat ini, saya gembira melihat sokongan masyarakat Cina terhadap konsep 1Malaysia. Ini kerana mereka tahu PM akan berlaku adil dan seimbang dalam politik dan mendalami masalah rakyat yang berbilang kaum,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Miri di sini semalam.

Dr Chan yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) memberitahu, selain menjaga kepentingan kaum Cina, SUPP juga turun padang membantu kaum lain yang turut menganggotai parti serta dan bekerjasama dengan parti komponen BN lain untuk kestabilan politik Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menggesa kaum Cina untuk menyokong parti SUPP agar peranan parti dapat diperkuatkan demi menjaga kepentingan rakyat secara menyeluruh.

“SUPP tidak mewakili kaum Cina sahaja. Sebagai parti politik, kita perlu jaga kaum lain juga. Oleh itu kita perlu bersatu hati dan menyokong perjuangan parti kita,” jelasnya.

Menurut Dr Chan, sebagai pemimpin beliau bersikap terbuka untuk mendengar dan menerima cadangan termasuk dari pihak pembangkang sekiranya cadangan tersebut boleh membangunkan rakyat dan negeri ini.

Persekutuan serta persatuan-persatuan Cina pula boleh berperanan sebagai telinga dan mata menyampaikan masalah dan cadangan kaum mereka kepada wakil-wakil rakyat.

Mengenai permintaan untuk menambah jumlah kapitan dan penghulu kaum Cina di bahagian Miri, Dr Chan memberitahu, SUPP telah mengemukakan permohonan berkenaan kepada pihak tertinggi kerajaan negeri.

“Sebagai kaum teramai di Miri iaitu 70 peratus daripada populasi penduduk, sokongan daripada kapitan dan penghulu penting sebagai jentera kerajaan untuk menerangkan tentang polisi pembangunan yang dilaksanakan kepada rakyat,” jelasnya.

Hadir sama ialah Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Setiausaha Politik Datuk Sebastian Ting, Menteri Muda Komunikasi merangkap penyandang kerusi DUN Senadin Datuk Lee Kim Shin, penyandang kerusi DUN Pujut Andy Chia, Datuk Bandar Lawrence Lai dan Presiden, Soo Mei Kong.

No comments:

Post a Comment