Tuesday 17 May 2011

Penduduk di Kampung Api-Api, DUN Piasau hidup kegelapan

Kampung Api Api mohon perhatian wakil rakyat DUN Piasau



Oleh Hazel Lee

MIRI – Nama sahaja Kampung Api-api, namun sehingga kini penempatan setinggan yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar itu hidup dalam kegelapan kerana tiada bekalan elektrik.

Kebanyakan penduduk di situ menggunakan pelita minyak tanah selain generator pada waktu malam. Manakala untuk bekalan air paip, mereka terpaksa berkongsi satu meter air.

Selain tidak mempunyai bekalan elektrik, penempatan yang didiami lebih 2,000 penduduk berbilang kaum sejak 30 tahun lalu tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air bersih secara meter persendirian.

Bukan itu sahaja, kawasan yang didiami oleh masyarakat berbilang kaum majoriti Dayak dan Orang Ulu itu tidak mempunyai sistem pembuangan sampah yang sistematik, menyebabkan kawasan itu berbau busuk.

Tinjauan mendapati, penduduk lebih gemar membuang apa sahaja sampah termasuk botol, lampin pakai buang, sisa makanan, plastik termasuk najis ke dalam longkang dan sungai kecil yang terdapat di belakang rumah.


Iba Saba

Menurut penduduk di situ, kebanyakkan mereka sudah menetap di situ lebih 20 tahun namun sehingga kini belum ada usaha untuk mewujudkan bekalan air dan elektrik.

Isu berkenaan pernah diadukan kepada pihak berkenaan, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Salah seorang penduduk kampung, Iba Saba, 32, berkata, mereka juga tidak mempunyai sistem pembuangan sisa kumbahan yang sistematik menyebabkan sungai kecil yang terdapat di situ turut dijadikan tempat membuang najis.

“Keadaan ini menyebabkan tempat kami berbau busuk dan kotor, namun kami sudah biasa,” katanya sambil menambah mereka tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri.

Beliau berharap wakil rakyat yang dipilih bagi kawasan dapat membantu termasuk mencari langkah penyelesaian terbaik untuk membolehkan mereka menikmati kehidupan yang lebih selesa.

Kampung Api- Api merupakan salah satu penempatan setinggan yang terbesar di Miri selain penempatan di Kampung Baru Pujut 7, Kampung Pujut Sungai Adong, Kampung Merapak Pujut 8 dan Kampung Damai Jaya, Piasau Utara.

No comments:

Post a Comment