dipetik dari http://miritoday.com/berita/kesan-kekalahan-supp-di-piasau-dan-pujut-mula-dirasai-rakyat
SENADIN — Persatuan dan pertubuhan yang lazimnya mendapat peruntukan besar daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Miri kini bimbang dengan kekurangan jumlah geran yang diterima berikutan kekalahan dua calonnya dalam Pilihan Raya Negeri April lalu.
Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau dan bekas Timbalan Ketua Menteri, tewas kepada calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), Ling Sie Kiong manakala bekas ADUN Pujut, Andy Chia kalah kepada Fong Pau Teck, juga calon dari DAP.
Sebelum kekalahan ini, persatuan dan pertubuhan mendapat peruntukan besar daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) namun kini mereka perlu berpuas hati dengan peruntukan yang diterima walaupun jumlahnya kecil.
Menteri Muda Komunikasi, Lee Kim Shin berkata, pengagihan peruntukan kini berkurangan kerana hanya beliau dan Ahli Parlimen Miri, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang tinggal untuk memohon peruntukan.
“Saya ada menerima aduan daripada pertubuhan dan persatuan yang bimbang mengenai peruntukan yang semakin berkurangan. Sekarang kerajaan melalui SUPP hanya dapat menyalurkan bantuan kepada dua wakil rakyat iaitu saya dan Datuk Seri Peter Chin, berbanding dulu empat orang wakil rakyat yang mana peruntukan lebih banyak,” katanya kepada media selepas sesi bertemu rakyat di pejabat SUPP Senadin hari ini.
Lee yang juga ADUN Senadin memberitahu, pengurangan dari segi pemberian geran itu tidak ketara semasa tahun pertama namun kesannya akan dirasai oleh pelbagai pihak empat tahun yang mendatang.
“Justeru saya berharap rakyat di Miri faham mengapa mereka mendapat geran yang sedikit. Saya harap pengundi selepas ini sedar dengan pilihan mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Lee berjanji akan melakukan yang terbaik untuk memastikan semua pertubuhan dan persatuan khususnya badan kebajikan mendapat geran yang sewajarnya.
“Walaupun peruntukan berkurangan, namun persatuan dan pertubuhan kebajikan tetap diberi keutamaan dari segi pengagihan peruntukan,” katanya.
Terdahulu, Lee menerima aduan daripada Persatuan Bas Sekolah Miri yang bimbang mengenai nasib anak-anak miskin yang menggunakan bas mereka di mana tambang mereka dibiayai oleh SUPP.
“Dalam hal ini, saya minta agar pengusaha bas teruskan mengambil anak-anak tersebut dan biarkan SUPP yang tolong selesaikan pembayaran yang tertunggak khususnya ibu bapa yang miskin.”
Beliau turut beri jaminan akan membantu menyelesaikan yuran bas sekolah anak-anak dari keluarga miskin yang pernah mendapat bantuan di bawah Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan Andy Chia.
No comments:
Post a Comment