Wednesday, 16 November 2011

Sebastian Ting masih berahsia mengenai jawatan yang akan ditandingi

Ting dan kumpulan penyokong Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dari beberapa cawangan di Miri menunjukkan buku Pelan Transformasi SUPP sambil memegang banting yang menyokong beliau menjadi presiden parti.

Ting dan kumpulan penyokong Datuk Seri Peter Chin Fah Kui melaungkan slogan ‘Sa’ati’

MIRI, 16 November – Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Piasau, Dato’ Sebastian Ting masih berahsia mengenai jawatan yang akan ditandinginya dalam pemilihan peringkat cawangan parti yang berlangsung pada 20 November ini.

“Apa posisi dalam parti? Jauh di sudut hati, saya tahu posisi yang harus saya pilih. Kebanyakkan ahli parti dan sahabat baik dalam parti mempunyai fikiran yang sama. Mereka harus tahu posisi yang akan saya ambil, jadi kami sebenarnya ada hubungan,” katanya semasa ditanya oleh media mengenai posisi yang akan ditandinginya hari ini.

Setakat ini, usahawan Hii Khing Chiong sudah menyatakan hasrat untuk bertanding bagi jawatan pengerusi SUPP cawangan Piasau bagi menggantikan pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam yang juga Presiden SUPP.

Ting yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dalam konteks ini menyeru ahli parti agar memberi sokongan dan kerjasama dengan menghadirkan diri semasa Persidangan Tiga Tahun Sekali (TDC) diikuti pemilihan yang akan diadakan di Hotel Mega mulai jam 10 pagi.

Terdahulu, seramai 20 ahli SUPP mewakili pelbagai cawangan datang ke pejabat SUPP dan membawa sepanduk bertulis ‘Sokong Kumpulan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui’ untuk menyokong beliau dipilih sebagai presiden.

“Saya mewakili beliau (Chin) ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli yang meluangkan masa untuk datang ke sini dan menyatakan sokongan. Kami amat menghargai sokongan yang tidak berbelah bagi ini.” katanya.

“Saya rasa terharu dengan sokongan yang diberikan tatkala kami menghadapi saat yang sukar pada masa ini. Mereka ini saya sifatkan benar-benar mencintai parti,” katanya.

No comments:

Post a Comment