Wednesday, 11 January 2012

Kes Pembunuhan Kejam Di Sibu – Pasangan Anak Beranak Ditahan Polis

SIBU: Polis yakin siasatan ke atas kes pembunuhan kejam empat sekeluarga di sebuah rumah di Jalan RTM, di sini, pada 3 Januari lalu, selesai berikutan penahanan pasangan ‘anak-beranak’ yang juga jiran keluarga malang berkenaan, kelmarin.

Seorang remaja 17 tahun ditahan 10.30 malam, manakala ibunya 44 tahun ditahan dua jam kemudian, di rumah mereka selepas polis menemui bukti kukuh bagi mensabitkan mereka dengan pembunuhan empat sekeluarga terbabit.

Difahamkan, pada hari kejadian remaja yang bekerja sebagai kelindan lori itu dipercayai menceroboh rumah keluarga terbabit melalui bumbung rumah teres dua tingkat berkenaan sebelum membunuh mangsanya kseorang demi seorang.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Law Hong Soon berkata, dengan penahanan dua beranak terbabit, polis menyifatkan kes pembunuhan empat sekeluarga terbabit sudah selesai.

“Untuk makluman, kes berlaku pada Selasa lalu, diselesaikan. Suspek dikenal pasti dan kini dalam tahanan kami.

“Sekarang kami menyiasat bagi mendapatkan keterangan diperlukan menyelesaikan kes serta mengemas kini kertas siasatan sebelum dirujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Sibu, di sini, semalam. Mengulas lanjut, beliau berkata, polis sudah mendapat kebenaran mahkamah bagi menahan reman kedua-dua suspek bagi tempoh tujuh hari.

Dalam kejadian Selasa lalu, empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak ditemui mati bergelimpangan, masing-masing di dapur dan bilik tidur dengan tiga daripada mereka didapati pecah di kepala dan kesan kelar di leher.

Ketika kejadian, keluarga malang terbabit dikatakan baru bangun tidur sebelum diserang dengan objek tajam dan tumpul.

Mangsa yang maut, seorang ahli perniagaan, Ling Tong Hock, 36, dua anaknya iaitu Amy Ling Zi Ju, 7; David Lung Chei Qi, 10, serta ibunya, Leong Nyuk Lan, 76.

Seorang lagi anak Tong Hock, Kelvin Ling Chei You, 8, terselamat dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat parah di kepala.

Law berkata, pada masa sama, siasatan polis mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah dan polis akan menjalankan ujian air kencing ke atas mereka.

“Pada masa sama, wanita berusia 28 tahun yang juga isteri ahli perniagaan dibebaskan selepas dia tiada kaitan dengan kejadian ini. Apa yang pasti, polis turut menemui kesan ceroboh pada rumah mangsa sebelum kejadian itu berlaku,” katanya sambil meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

No comments:

Post a Comment