Tuesday 29 March 2011

Kampung Kebudayaan di tebingan Sungai Miri

by Steve Annuar. Posted on March 29, 2011, Tuesday




MESRA: Dr Chan sedang berucap di depan penduduk Wireless ditemani oleh Razemi (kiri) dan Andy pada majlis malam kelmarin.

Kemudahan dan pembangunan di Kampung Wireless akan dinaik taraf untuk tepati ciri: Dr Chan

MIRI: Kerajaan negeri akan membangun dan menaik taraf kemudahan di Kampung Wireless untuk menukar wajah kampung di tebingan Sungai Miri itu menjadi Kampung Kebudayaan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam memberitahu kerajaan menerima cadangan yang dikemukakan oleh penduduk dan melihat potensi kampung sebagai pusat kunjungan baru oleh pelancong ke Miri.

“Saya rasa kita boleh jadikan kampung ini sebagai Kampung Budaya. Kerja kita sekarang ialah mencantikkan kampung ini seperti Kampung Air di Brunei. Ini boleh menjadi tarikan kepada pelancong asing yang memang gemarkan suasana kampung,” jelasnya.

Dr Chan berkata demikian ketika menemui penduduk kampung berkenaan pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat malam kelmarin.

Dr Chan yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan Negeri memberitahu usaha menukar wajah kampung berkenaan akan dilakukan secara berperingkat mengikut jumlah peruntukan yang diterima dari kerajaan negeri dan pusat.

Menurutnya, tugas pertama kerajaan ialah menaik taraf jambatan dan jalan raya di kampung itu untuk memudahkan kerja-kerja pembangunan kemudahan pelancongan.

Mengenai permintaan balai raya, Dr Chan memberitahu, tapak sementara akan digunakan sebagai pusat pertemuan dan aktiviti penduduk.

“Untuk mencari tapak yang kekal (bina balai raya) agak susah. Kita perlu cari tapak yang sesuai,” jelasnya menambah kata, kerajaan akan mengkaji sepenuhnya permohonan berkenaan.

Merujuk mengenai aduan pengusaha tentang bayaran gerai Bazar Ramadan, Dr Chan berkata, aduan mereka akan dirujuk kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Pengusaha memberitahu bayaran sewa RM300 yang dikenakan untuk setiap gerai adalah mahal dan mahu dikurangkan kepada RM30.

“Kita akan bincangkan dengan MBM. Mungkin bayaran RM30 kita boleh kenakan untuk gerai-gerai kecil. Tetapi agak mustahil untuk kita kenakan RM30 kepada semua peniaga,” jelasnya.

Pada masa itu, Dr Chan yang juga penyandang untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Piasau berkata, Miri merupakan kubu kuat BN dan percaya penduduk akan terus memberi sokongan kuat kepada BN atas kejayaan BN membangunkan Miri selama ini.

“Pembangkang hanya pandai marah, tapi tidak buat apa-apa untuk rakyat. Sarawak adalah negeri BN dan Miri adalah kubu kuat BN,” jelasnya.

Terdahulu, Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ranting Kampung Wireless, Razemi Japar meminta penduduk untuk mengundi calon-calon BN pada 16 April ini.

Beliau mengingatkan pengundi untuk datang awal pada hari pengundian kelak agar mereka tidak terlepas menunaikan tanggungjawab mereka yang dilakukan sekali dalam tempoh lima tahun.

“Saya tidak mahu penduduk mendengar dan percaya kepada hasutan pembangkang yang akan hanya mendatangkan masalah kepada kita,” tegasnya.

Hadir sama ialah penyandang kerusi DUN Pujut Andy Chia dan Ketua Kaum, Jaafar Abdullah.

No comments:

Post a Comment