Tuesday 29 March 2011

Pelbagai budaya elemen penting gagasan 1Malaysia

Posted on March 28, 2011, Monday

MIRI: Keunikan dan kepelbagaian budaya masyarakat Miri menjadi elemen yang sangat penting dalam memperkukuhkan gagasan 1Malaysia seterusnya menjadi simbol kepada perpaduan rakyat Sarawak.

Menteri Tenaga, Teknoologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata gagasan 1Malaysia merupakan lambang keterbukaan rakyatnya dalam menerima segala bentuk pembangunan fizikal dan sosial.

“Gagasan 1Malaysia ini telah lama dipraktikkan di Sarawak terutamanya Miri secara khususnya, dengan penyatuan populasi masyarakat yang mencecah 300,000 orang dari pelbagai latar belakang etnik dan budaya,” katanya pada majlis Malam Kebudayaan Ponggal India 1Malaysia di sini, malam kelmarin.

Chin yang juga Ahli Parlimen Miri menjelaskan kemajuan Gagasan 1Malaysia untuk masa akan datang terletak pada kepelbagaian budaya dan seni rakyat yang pelbagai etnik.

“Gagasan 1Malaysia lebih mudah dicapai dan diamalkan kerana menerusi penyebaran dua elemen penting ini, tidak wujud halangan dalam penyatuan di kalangan rakyat pelbagai kaum,” ujarnya.

Masyarakat Miri juga katanya bersifat terbuka dalam menerima dan mengenali budaya masyarakat lain seperti masyarakat India terutamanya melalui persembahan kebudayaan masyarakat itu.

“Meskipun masyarakat India hanya minoriti, namun mereka termasuk dalam 300,000 orang populasi Miri yang mengamalkan dan mempraktikkan gagasan 1Malaysia,” katanya.

Tambahnya, program bercorak kebudayaan dan kesenian pelbagai kaum membolehkan rakyat Malaysia menilai, menghormati dan menghargai semua amalan budaya di negara ini.

Chin juga menyarankan dengan amalan Gagasan 1Malaysia yang semakin kukuh, maka masyarakat Miri perlu bersama-sama dengan kerajaan untuk terus membangunkan Miri dalam pelbagai sektor.

“Wakil rakyat dari kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat, mereka akan pergi ke kawasan Orang Penan, Orang Asli, masyarakat bandar dan luar bandar juga tidak terlepas untuk mendengar masalah mereka,” ujarnya.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin, Pengerusi Pertubuhan Agama Hindu Miri, Selvaraj Grapagasem, penyandang DUN Pujut, Andy Chia dan Datuk Bandar, Lawrence Lai.

Dalam majlis sama, Chin turut mengumumkan pemberian geran berjumlah RM10,000 sementara Nor Mohamed pula mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Pertubuhan Agama Hindu Miri bagi melaksanakan pelbagai aktiviti pertubuhan itu.

No comments:

Post a Comment