Tuesday 29 March 2011

Penduduk sekat jika jalan, jambatan rosak tidak dibaiki

by Sudan Ajang. Posted on March 28, 2011, Monday



ROSAK TERUK: Jalan di Pa Ramudu rosak teruk menyebabkan penduduk dari tiga buah perkampungan sukar untuk bergerak, manakala satu-satunya jambatan kayu (gambar kecil) merentasi Sungai Kelapang menunggu masa untuk roboh.

MIRI: Penduduk Kampung Pa Ramudu berhampiran tanah tinggi Bario mengancam akan melakukan sekatan jalan utama yang menghubungkan kampung berkenaan ke Bario, Pa Daleh dan Pa Mada sekiranya pihak berkuasa berkaitan tidak memperbaiki jalan dan jambatan yang rosak.

Salah seorang penduduk Paul Kebing, 51, berkata penduduk kampung terputus hubungan dengan dunia luar hampir tiga bulan yang lalu disebabkan keadaan jalan yang teruk, sehingga sekarang tiada usaha untuk membaikinya.

“Jalan dan jambatan berkenaan rosak teruk kerana digunakan oleh kenderaan berat untuk menghantar bahan binaan projek jalan di Bario,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Paul, jalan tersebut dibina oleh syarikat pembalakan di kawasan Pa Ramudu dan sebelum ini diselenggara dengan baik, sehinggalah projek pembinaan jalan di Bario bermula.

Ujarnya, kerosakan teruk jalan ini menyebabkan kenderaan pacuan empat roda milik mereka kerap terbenam dalam tanah becak dan ini menyusahkan ramai penduduk kampung yang terpaksa menarik kenderaan itu.

“Ini merupakan satu-satunya jalan menuju ke Bario, Pa Mada dan Pa Daleh dari Miri. Sekarang penduduk dari ketiga-tiga kampung tidak dapat menggunakan jalan tersebut untuk pulang ke kampung.

“Bagi penduduk Bario, ia mungkin tidak memberi masalah kerana mereka dapat menggunakan kapal terbang.

“Tapi kami di Pa Ramudu tiada pilihan kerana padang terbang yang terdekat terletak di Bario. Untuk ke sana kami perlu melalui jalan raya yang rosak,” katanya.

Walaupun mempunyai pengangkutan udara, namun penduduk di Bario masih bergantung kepada pengangkutan darat untuk membawa barang keperluan ke kampung memandangkan pengangkutan udara terhad.

Selain daripada itu, jambatan yang menghubungkan Pa Ramudu dengan Pa Daleh juga mengalami kerosakn teruk menyebabkan pengguna dalam keadaan terancam.

“Jambatan itu semakin mengecil dan sebahagian daripadanya sudah roboh. Kami tidak dapat menggunakan jalan itu semasa hujan kerana licin dan bimbang kenderaan terjunam ke dalam Sungai Kelapang,” katanya.

Berikutan itu, penduduk kampung terpaksa meletakkan kayu bagi menyokong bahagian jambatan yang hampir roboh.

“Sebelum ini syarikat balak berjanji untuk membina sebuah jambatan besi bagi menggantikan jambatan itu, namun sehingga hari ini tiada tanda-tanda ia akan menjadi kenyataan,” katanya.

Ujarnya, jika berlaku kecemasan mereka tiada pilihan kerana klinik yang terdekat terletak di Pa Daleh, iaitu kira-kira tiga jam berjalan kaki. Satu-satunya sekolah juga terletak di Pa Daleh.

Selain terpaksa berjalan kaki sejauh tiga jam ke sekolah dan klinik, penduduk di situ tiada mempunyai liputan telefon menyebabkan mereka terasing dari dunia luar.

“Sehubungan itu kita berharap kerajaan membantu penduduk tempatan membaiki jalan tersebut bagi memudahkan kami membuat urusan harian. Kami tidak mahu kerajaan hanya mengambil tindakan apabila kejadian buruk berlaku,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment