PUSAT BANDAR, 21 November — Bekas pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Piasau, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam tidak akan membayangi ahli jawatankuasa yang baru dipilih atau melibatkan diri dalam apa jua keputusan berkaitan parti itu.
“Saya menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada krediabiliti dan keupayaan ahli-ahli jawatankuasa yang kebanyakkan terdiri daripada muka baru”, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa SUPP peringkat cawangan Piasau di Hotel Mega malam tadi.
Dr Chan yang juga presiden parti memberitahu, malah muka baru ini mempunyai idea yang lebih segar dan bernas serta mempunyai tenaga yang mantap untuk mengemudikan parti di peringkat cawangan.
Dato’ Sebastian Ting memenangi undi untuk memegang jawatan sebagai pengerusi SUPP cawangan Piasau, manakala Hii King Chong pula dicadangkan untuk menjadi timbalan pengerusi.
“Saya percaya, kumpulan baru pimpinan Ting dan Hii ini mampu membawa parti ke tahap pencapaian yang lebih cemerlang berbanding semasa saya masih menjadi pengerusi,” katanya.
Mengulas pemilihan peringkat cawangan, Chan tidak menafikan ia persaingan yang sengit dan mencabar antara Ting dan Hii, yang mana Ting berjaya memperolehi 4 undi majoriti mengatasi Hii.
“Pemilihan peringkat cawangan sudahpun berakhir, saya berharap kumpulan yang bersaing sebelum ini kembali bersatu hati sejajar dengan pegangan parti iaitu ‘Sa’ati’. Saya percaya Ting dan Hii dapat merealisasikan pembangunan pesat di bandar raya Miri,” katanya.
Chan, mengumumkan persaraan dari bidang politik selepas gagal mempertahankan kerusi Piasau kepada calon Parti Tindakan Rakyat (DAP) Alan Ling semasa Pilihan Raya Negeri (PRN).
No comments:
Post a Comment