Lantikan rakyat biasa menjadi kaunselor wajar dipertimbangkan – Lawrence Lai
PUSAT BANDAR— Cadangan melantik rakyat biasa dan bukannya ahli politik untuk memegang jawatan kaunselor Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mungkin wajar dipertimbangkan bagi mengurangkan ‘political flavour’, kata Datuk Bandar Miri Lawrence Lai.
Lai memberitahu, sebelum ini kaunselor dilantik dari kalangan ahli parti komponen Barisan Nasional iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Katanya, pelantikan dari parti politik ini sedikit sebanyak memberi kesan kurang baik kerana golongan tertentu cenderung menganggap fungsi majlis tempatan ‘dipolitikkan’ dan dipengaruhi oleh kepentingan parti tertentu.
“Justeru untuk mengurangkan persepsi ‘political flavour’ ini, saya menyambut baik cadangan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bar-baru ini untuk melantik kaunselor di kalangan rakyat biasa atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tiada kaitan dengan politik,” katanya ketika ditemui hari ini.
Lai menambah, kaunselor boleh dilantik di kalangan mereka yang bergiat aktif dalam pertubuhan dan NGO seperti Bulan Sabit Merah, persekutuan Cina, pertubuhan bumiputera, persatuan wanita, belia dan warga emas.
“Mereka mempunyai banyak masa yang terluang selain mewakili komuniti dari pelbagai lapisan. Namun saya percaya perubahan ini tidak drastik dan mengambil masa lima hingga enam tahun untuk dilaksanakan,” katanya.
Mengenai pelantikan kaunselor untuk MBM, Lai berkata ia ditentukan oleh Kerajaan Negeri dan bukannya parti politik yang diwakili oleh mereka.
Setakat ini Majlis Bandaraya Miri mempunyai 27 kaunselor termasuk datuk bandar.
No comments:
Post a Comment