MIRI, 26 November — Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam hari ini memberitahu tidak tahu mengenai adanya usaha menubuhkan Peace Party bagi menggantikan parti itu.
“Saya tidak tahu mengenai Peace Party, namun saya berharap ia tidak membabitkan ahli-ahli parti. Kalaulah perpecahan dan penubuhan parti baru itu benar, ini adalah sejarah hitam kerana SUPP merupakan parti yang tertua di Sarawak,” katanya hari ini.
Dr Chan memberitahu, sepanjang 30 tahun pengalaman dalam parti, SUPP tidak pernah bertelingkah sesama sendiri sehingga sampai ke tahap mahu menubuhkan parti baru.
Beliau mengulas desas-desus yang menyatakan kumpulan tertentu dalam SUPP sudah menghantar permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menubuhkan sebuah parti iaitu Peace Party bagi menggantikan SUPP.
Difahamkan, kumpulan tersebut menghantar permohonan pada tahun lepas dan perkembangan terkini ROS sedang memproses permohonan parti tersebut.
Beliau menjelaskan, perpecahan parti ini bukan sahaja menghancurkan masa depan parti malah memberi kesan yang tidak baik kepada Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum nanti.
“Persaingan dan semangat untuk pemilihan dalam parti baik, namun janganlah terbawa-bawa emosi itu ke luar sehingga mahu menghancurkan parti”. “Ini tidak akan membawa kebaikan malah keburukan. Perwakilan sepatutnya bersikap profesional sesama sendiri. Kalau mereka merasakan yang terbaik, tunjuklah yang terbaik. Namun jika sudah kalah semasa pemilihan, faham-fahamlah,” katanya
No comments:
Post a Comment