Monday 21 November 2011

Sebastian Ting pengerusi SUPP Cawangan Piasau yang baharu

Sebastian Ting pengerusi SUPP Cawangan Piasau yang baharu, Hii tolak jawatan Timbalan Pengerusi

Reaksi Ting selepas diumumkan sebagai Pengerusi SUPP cawangan Piasau malam tadi, kelihatan sama Chan.
Ting berjabat tangan dengan Hii sebaik sahaja pengumuman keputusan pemilihan selesai malam tadi.




PUSAT BANDAR, 21 November — Dato’ Sebastian Ting menang sebagai pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Piasau selepas menewaskan usahawan Hii King Chiong dalam mesyuarat agung tiga tahun sekali parti di sini malam tadi.

Ting yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sebelum ini merupakan timbalan pengerusi SUPP cawangan Piasau menggantikan bekas pengerusi, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Sejurus selepas diumumkan sebagai pengerusi, Ting mencadangkan Hii sebagai timbalan pengerusi, namun Hii menolak.

Seramai 805 ahli parti turun mengundi bagi memilih ahli jawatankuasa cawangan dan delegasi untuk penggal 2012 hingga 2014. Cawangan Piasau mempunyai 3,481 dan pertandingan kali ini menyaksikan persaingan yang sengit.

Dalam pada itu, Keith Chin dan Suzanne Lee masing-masing dipilih sebagai Ketua Pemuda dan Ketua Wanita untuk SUPP cawangan Piasau.

Ting ketika ditemui berkata, beliau akan bertemu dengan Hii dalam tempoh minggu ini bagi membincangkan jawatan timbalan pengerusi.

“Saya akan berjumpa dan memujuk beliau untuk mempertimbangkan jawatan sebagai timbalan saya. Selain itu, kami akan berbincang mengenai barisan ahli jawatankuasa parti yang baharu.”

“Saya berharap Hii dapat mempertimbangkan jawatan itu. Apa yang penting, semua ahli adri kedua-dua kumpulan dapat bekerjasama dan bersatu hati,” katanya yang bersemangat untuk mendekati ahli-ahli dari kumpulan Hii.

Beliau turut berterima kasih dengan ahli-ahli yang turun mengundi sekaligus membuktikan cinta mereka terhadap parti.

Mengenai pertandingan sengit kali ini, Ting berkata undi tersebut menghantar mesej yang amat penting iaitu semangat bekerjasama di samping mempersiapkan mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Ini merupakan pertandingan yang pertama dan amat sengit, namun saya gembira kerana proses berjalan lancar dari mula sampai akhir. Semua ahli cukup matang dan terkawal.”

Dalam pada itu, Ting mengakui beliau kini mengalas cabaran yang berat untuk meneruskan tanggungjawab sebagai pengerusi menggantikan Chan.

“Di hadapan saya terbentang jalan yang berliku dan mencabar. Bukan senang, namun jalan tersebut sudah ada, apa yang penting kami sekarang perlu meneruskan kerjasama dengan sokongan semua ahli dan rakyat. Saya pasti semangat ini dapat membantu kami untuk mengharunginya.”

Hii ketika ditemui berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada Ting dan berharap dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengerusi dengan baik.

No comments:

Post a Comment