Saturday 7 January 2012

SIBU: Empat Sekeluarga Dibunuh Dalam Serangan Kejam


ANGGOTA polis mengangkat salah satu mayat yang di bunuh kejam di Sibu, hari ini. Lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak ditemui dibunuh dengan kejam di rumah mereka di RTM Road Lane 13B1, Sibu, kira-kira jam 7 pagi tadi. - Foto Ihsan Sin Chiew Daily Jan 3, 2012 3:31 pm

LI Xiao Lan (kiri), isteri kepada mangsa pembunuhan kejam tidak dapat menahan kesedihan berikutan empat sekeluarga ditemui mati dibunuh di kediaman mereka di Lorong 13B1, RTM Road, Sibu, Sarawak, semalam. Gambar Utusan

SIBU: Empat sekeluarga, dua daripadanya kanak-kanak ditemui mati dibunuh dengan kejam di kediaman mereka di sini pagi, Selasa manakala seorang lagi budak lelaki yang parah sedang bertarung nyawa di hospital.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Lau Heng Soon berkata mereka yang mati dikenal pasti sebagai ahli perniagaan Ling Tong Hock, 36, ibunya Leong Nyuk Lan, 76, anak lelakinya David Ling Chei Qi, 10 dan anak perempuan Amy Ling Zi Jiun, 7.

Seorang lagi anak Tong Hock, Kelvin Ling Chei You, lapan, kini dirawat di unit rawatan rapi di Hospital Sibu akibat kecederaan parah di kepala, katanya pada sidang akhbar, di sini.

Law berkata isteri Tong Hock, Li Xiao Lan, 28, sempat menyelamatkan diri ke rumah jiran melalui tingkap selepas terdengar bunyi bising di tingkat bawah kediaman mereka, dan pintu bilik tidurnya pula ditendang oleh beberapa individu.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian di rumah di Lorong 13B1, RTM Road itu agar tampil membantu siasatan.

Law juga meminta media agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang dipercayai berlaku antara 7 hingga 7.30 pagi itu.

Jika perlu, pihaknya akan membawa pakar forensik sama ada dari Kuching atau Bukit Aman (Kuala Lumpur), kata Law.

"Saya datang ke sini khusus untuk kes ini bagi melihat bantuan yang boleh kami tawarkan. Kami akan menyiasat kes ini daripada semua aspek," katanya.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail berkata polis menolak rompakan sebagai motif serangan, memandangkan rumah tersebut tidak digeledah serta tidak ada barangan yang dipercayai hilang.

Beliau berkata polis masih meneliti rakaman kamera litar tertutup di rumah itu.

Sementara itu, Law berkata Sibu masih bandar yang selamat dan penduduk tidak perlu bimbang.

Hanya dua kes bunuh dicatatkan di sini tahun lepas, dan satu daripadanya telah diselesaikan, katanya - BERNAMA

3 Jan 2012


Wanita China direman tujuh hari

SIBU 4 Jan. – Seorang wanita yang dikatakan mempunyai hubungan dengan ahli perniagaan yang dibunuh kejam bersama ibu dan dua anaknya di kediaman mereka di Lorong 13B1, RTM Road, di sini semalam ditahan reman bagi membantu siasatan kes tersebut.

Wanita berusia 28 tahun itu, yang merupakan seorang warganegara China ditahan di bandar ini kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafie Ismail yang mengesahkan perkara itu berkata, perintah tahanan reman selama tujuh hari dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Sibu bermula hari ini.

“Perintah reman ini membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

“Suspek akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 11 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian antara pukul 7 hingga 7.30 pagi semalam, mayat ahli perniagaan, Ling Tong Hock, 36; ibunya, Leong Nyuk Lan, 76; anak lelakinya, David Ling Chei Qi, 10, dan anak perempuannya, Amy Ling Zi Jiun, 7, ditemui dengan kesan kecederaan parah akibat dihentak dengan objek tumpul.

Seorang lagi anak mangsa, Kelvin Ling Chei You yang berusia lapan tahun cedera parah di kepala manakala isteri baharunya, Xiao Lan mendakwa berjaya melarikan diri melalui tingkap apabila menyedari pintu bilik tidurnya ditendang penjenayah dari luar.

Kelvin dipindahkan dari Hospital Sibu ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching menggunakan helikopter hari ini dan tiba di hospital berkenaan pukul 9.20 malam.

Sementara itu, pasukan siasatan khas dan forensik dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak mula menjalankan siasatan sejak pukul 8.15 pagi bagi mengumpul bukti.

Pasukan Bukit Aman diketuai Ketua Bahagian Forensik Asisten Komisioner Liaw Kam Soon sementara IPK Sarawak diketuai Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner I Zulkifli Hassan.

Utusan
5 Jan 2012


Isteri mangsa bunuh di Sibu kena reman

SIBU: Seorang wanita warga China berusia 27 tahun direman tujuh hari mulai semalam, bagi membantu siasatan kes pembunuhan usahawan pembalakan dan perkapalan, Ling Tong Hock dan tiga ahli keluarganya, di sini, pagi kelmarin.

Wanita yang difahamkan isteri kedua ahli perniagaan itu di bawa ke Mahkamah Sesyen Sibu pada jam 2 petang di hadapan Hakim Indra Ayub yang membenarkan permohonan polis bagi mereman wanita yang kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.

Akhbar semalam melaporkan Tong Hock, 36; ibunya Leong Nyuk Lan, 76; dan dua anaknya, Amy Ling Zi Jiun, 7; dan David Lung Cheng Qi, 10; dipukul hingga mati menggunakan objek tumpul di rumah mereka di RTM Road Lane, di sini, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin.

Seorang lagi anak mangsa, Kelvin Ling Chei You, 8, selamat tetapi kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu.

Dalam kejadian itu, ibu tiri kanak-kanak itu yang dikahwini bapa mereka dua tahun lalu sempat menyelamatkan diri melalui tingkap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail, berkata permohonan reman ke atas wanita itu dibuat berdasarkan kenyataan bahawa cuma dia seorang berada di rumah keluarga itu ketika kejadian.

“Bagaimanapun siasatan masih dilakukan dan setakat ini kita dapati rumah mangsa di Lorong RTM tidak dipecah masuk.

“Keadaan seorang lagi anak mangsa yang terselamat, Kelvin Ling masih kritikal dan diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Umum Sarawak (HUS) Kuching malam tadi bagi rawatan lanjut, “ katanya.

Berita Harian
5 Jan 2012


Tarung nyawa

SIBU: “Dia seorang murid pintar, malah sifatnya cukup baik,” kata seorang guru sebaik menerima khabar anak muridnya, Kelvin Ling Chei You, 8, koma selepas diserang di rumahnya menyebabkan kematian empat ahli keluarga, pagi kelmarin.

Guru wanita berusia 20-an itu yang enggan dikenali ketika ditemui melawat keluarga mangsa di Hospital Sibu berkata, empat hari sebelum kejadian, Chei You bersama mendiang bapanya, Ling Tong Hock, 36, sempat mendaftar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Sing bagi sesi kemasukan 2012.

“Saya hanya mendapat tahu berita menimpa Chei You serta empat ahli keluarganya melalui akhbar pagi tadi (semalam). Saya bersama guru lain bergegas ke hospital menziarahi keluarganya.

“Di sekolah, Chei You antara murid pintar, malah sering mendapat kedudukan terbaik dalam kelas. Kami menumpang kesedihan di atas kejadian menimpa Chei You dan ahli keluarganya,” katanya.

Dalam kejadian pagi kelmarin, empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak ditemui mati bergelimpangan masing-masing di dapur dan bilik tidur dengan tiga daripadanya didapati pecah di kepala dan ada kesan kelar di leher dipercayai dibunuh dengan kejam di rumahnya di Jalan RTM.

myMetro
5 Jan 2012


Jiran suspek kes bunuh pula ditahan

Polis yakin dapat selesai siasatan

SIBU: Seorang lagi suspek kes pembunuhan kejam keluarga usahawan pembalakan dan perkapalan, Ling Tong Hock, Selasa lalu, ditahan awal pagi semalam, bagi membantu siasatan.

Suspek berusia 48 tahun yang juga jiran kepada keluarga mangsa dan menetap di Lorong RTM di sini, ditahan kira-kira jam 12.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail, berkata pihaknya menemui beberapa petunjuk bagi mengaitkan suspek dengan kes pembunuhan Tong Hock dan tiga ahli keluarganya, termasuk dua anaknya berusia 7 tahun dan 10 tahun.

“Suspek adalah jiran kepada mangsa dan dia ditahan bagi membantu siasatan selepas kita mendapat beberapa petunjuk berhubung kes ini.

“Berikutan penahanan ini kita yakin dapat menyelesaikan kes bunuh itu dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selasa lalu, Tong Hock, 36; ibunya, Leong Nyuk Lan, 76, dan dua anaknya, Amy Ling Zi Jiun, 7, dan David Lung Cheng Qi, 10, dipukul hingga mati menggunakan objek tumpul di rumah mereka.

Petang kelmarin, seorang wanita warga China yang difahamkan isteri kedua ahli perniagaan itu, direman selama tujuh hari selepas polis mendapati kediaman mangsa tidak dipecah masuk ketika kejadian.

Sementara itu, keadaan seorang lagi anak mangsa, Kelvin Ling Chei You, 8, yang dipindahkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) dari Hospital Sibu, dilaporkan masih tidak berubah.

Berita Harian
6 Jan 2012


Keluarga Mati Dipukul Benda Tumpul:Pakar Bedah

SIBU: Bedah siasat ke atas keluarga kes bunuh di Jalan RTM Isnin lepas menunjukkan keempat-empat mereka mati kerana luka parah di kepala akibat dipukul benda tumpul. Pakar bedah Hospital Besar Sarawak, Dr.Jamil Dolkadir melakukan bedah siasat itu dari 8 hingga 11 pagi.

Keempat-empat mangsa ialah ahli perniagaan kayu dan perkapalan Ling Tong Hock, 36, dua anaknya David, 10, dan Amy, tujuh tahun, serta emak mendiang, Leong Nyuk Lan, 76.

Dua orang dewasa yang mati itu mengalami cedera luka ditetak di tangan dan leher mereka, kata Dr Jamil.

Kesemua mereka dibunuh kejam diserang sama ada di bilik tetamu, dapur dan bilik tidur rumah mereka oleh orang yang tidak diketahui antara 7 hingga 7.30 pagi hari tersebut. Isteri kepada Ling, Li Xiao Lan, 28, seorang warga China lari ke rumah jiran dengan memboloskan dirinya menerusi tingkap bilik tidur di bahagian atas.

Pada Rabu, polis mendapatkan perintah mahkamah menahan reman wanita itu selama semingu sehingga 11 Jan untuk membantu siasatan.

Polis telah membebaskan seorang lelaki berusia 48 tahun yang mereka tahan awal pada Khamis berhubung kes berkenaan.

"Lelaki itu adalah jiran kepada mangsa, dibebaskan tengahari tadi selepas siasatan mendapati dia tidak terlibat," kata Ketua Polis Sibu ACP Shafie Ismail semasa dihubungi untuk mengetahui perkembangan terakhir kes. Seorang yang terselamat dalam kejadian itu, Kelvin, lapan tahun, yang mengalami luka ditetak di bahagian belakang dan lehernya kini dirawat di unit Rawatan Rapi (ICU) hospital yang sama.

Satu pasukan pakar bedah daripada Bahagian Forensik Bukit Aman diketuai ACP Liaw Kam Soon masih berada di sini bagi membantu pasukan polis tempatan diketuai Ketua CID negeri SAC Zulkipli Hasan, menyiasat kes.

Menurut seorang anggota keluarga yang enggan memberi nama, kesemua mangsa yang mati akan dikebumikan di tanah perkuburan Cina Sungai Aup pada hari Sabtu ini. - BERNAMA

6 Jan 2012


Remaja, ibu ditahan berhubung kes bunuh di Sibu

SIBU: Polis percaya sudah dapat menyelesaikan kes bunuh empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak di Jalan RTM di sini dengan penahanan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dan ibunya yang berumur 44 tahun malam tadi.

Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Law Heng Soon, berkata remaja lelaki itu bekerja sebagai kelindan lori dan ibunya suri rumah dan mereka tinggal agak dekat dengan rumah mangsa.

"Saya gembira mengumumkan kami sudah berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh empat hari selepas kejadian pada Isnin lalu.

"Suspek dan ibunya kini berada dalam tahanan kami untuk kami mendapatkan lebih banyak maklumat untuk menyiapkan kertas siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis menahan ibu remaja itu kerana dipercayai dapat membantu dalam siasatan kes itu.

Katanya, sebaik sahaja kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan.

Dalam kejadian antara 7 pagi hingga 7.30 pagi itu, ahli perniagaan Ling Tong Hock, 36, ibunya Leong Nyuk Lan, 76, anak lelakinya David Ling Chei Qi, 10 dan anak perempuannya Amy Ling Zi Jiun, 7, mati akibat sama ada dipukul atau dikelar.

Seorang lagi anak Ling, Kelvin Ling Chei You, 8, masih berada dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

Law berkata, dengan penahanan dua beranak itu, isteri Ling yang juga warganegara China , Li Xiao Lan, 28, yang sebelum ini ditahan reman untuk siasatan selepas mengaku melarikan diri menerusi tingkap untuk pergi ke rumah jiran ketika kejadian, dibebaskan hari ini.

Mengenai sama ada remaja lelaki itu menghidapi masalah mental, beliau berkata perkara itu sedang disiasat dan menurutnya remaja itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah mahupun penyalahgunaan dadah.

Law mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat untuk membantu polis menyegerakan siasatan mereka. - BERNAMA

6 Jan 2012


Dua beranak kes bunuh kejam dicekup

Isteri mangsa warga China bebas

SIBU: Polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan kejam keluarga usahawan pembalakan dan perkapalan, Ling Tong Hock, dalam tempoh empat hari, dengan penahanan suspek terbaru iaitu dua beranak, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan ibunya berusia 44 tahun.
Berikutan penangkapan dua tertuduh dan penemuan bukti kukuh, polis membebaskan isteri mangsa yang juga warga China, Li Xian Lan, 28, pada jam 3 petang semalam.
Suspek terbabit ialah jiran mangsa, dengan remaja lelaki itu yang bekerja sebagai atendan lori ditahan pada jam 10.30 malam kelmarin manakala ibunya, suri rumah ditahan kira-kira jam 12 tengah malam, di rumah mereka.

Mereka ditahan reman tujuh hari sehingga 13 Januari ini, oleh Mahkamah Sesyen Sibu, semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Law Hoon Soon, berkata polis turut menemui bukti kukuh susulan penanahan dua suspek itu, dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, secepat mungkin.

“Saya gembira, kita berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh empat hari. Kita mengenal pasti suspek. Mereka dalam tahanan kami untuk siasatan lanjut dan menyiapkan kertas siasatan,” katanya.

Hoon Soon berkata, suspek berusia 17 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian air kencingnya didapati negatif.

Ditanya motif pembunuhan, katanya, polis tidak boleh mendedahkan kepada media, kerana bimbang ia akan menjejas bukti untuk mendakwa suspek.

"Bukti yang kita peroleh agak kukuh dan kita juga menemui kesan pecah rumah," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Difahamkan suspek masuk ke rumah mangsa menerusi bumbung dan difahamkan polis sudah menemui senjata pembunuhan kes itu.

Hoon Soon turut berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat sehingga membolehkan penahanan suspek, selain hasil kerja keras anggotanya dalam menyiasat kes itu.

Beliau juga meminta pihak media supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung kes itu.

Berita Harian
7 Jan 2012

No comments:

Post a Comment