Monday 5 March 2012

Air paip selamat digunakan – LAKU Management



(dari kiri) Lo, Lee dan Sebastian meminum air terawat di Loji Rawatan LAKU di Lambir hari ini.


Contoh air paip diambil pada pukul 10.43 pagi di kawasan Pujut Corner.

LAMBIR, 3 Mac – Penduduk di Miri dan Bekenu tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan air paip kerana ia terbukti selamat digunakan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LAKU Management Sdn Bhd, Wong Tiong Kai.

“Bagi membuktikan ia benar-benar selamat, saya sendiri telah meminum air tersebut terlebih dahulu pagi tadi. Saya menjamin bekalan air paip selamat digunakan kerana kita sudah melakukan rawatan yang mematuhi piawaian yang ditetapkan” katanya semasa sidang media di pejabat Residen Miri selepas mesyuarat bedah siasat oleh LAKU bersama jabatan-jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.

Turut pergi ke Loji Rawatan Air di Lambir dan meminum air di situ ialah Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Sebastian Ting dan Pengurus LAKU Wilayah Miri, Lo Su Onn.

Mengulas lanjut, loji rawatan air modul 4 Lambir ditutup pada jam 8.30 malam pada 3 Mac lalu selepas penemuan tompokan minyak di pusat pengambilan air di Sungai Liku.

“Penutupan ini bagi memastikan tumpahan itu tidak mencemari sistem saluran air. Kita juga menggunakan sistem boswells semasa operasi namun ia hanya dapat menghasilkan satu pertiga daripada jumlah penggunaan keseluruhan kelmarin.”

“Ini menyebabkan kita menghadapi kekurangan bekalan air untuk memenuhi keperluan kira-kira 300,000 penduduk di Miri dan Bekenu.,” kata Wong.

Jelas Wong, loji modul empat dibuka untuk operasi pada jam 7 malam pada 4 Mac dan lebih banyak air disalurkan.

Mengenai aduan penduduk di beberapa kawasan mengenai air berkelodak, Wong berkata ia berpunca daripada penutupan modul empat sebelum ini dan bukannya berpunca daripada tumpahan itu.

“LAKU telah menghantar kakitangan mereka untuk mengepam keluar air yang berkelodak tersebut dan keadaan dijangka pulih sepenuhnya hari Selasa.”

Bekalan air paip kembali pulih pada hari ini dan penduduk yang tinggal di kawasan tinggi berkemungkinan menghadapi tekanan air rendah.

Penduduk yang masih mengalami masalah kelodak boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 085-426626 atau 436626.

Dalam pada itu, LAKU memohon maaf kepada seluruh penduduk Miri diatas segala kesulitan yang dihadapi semasa insiden tersebut.

No comments:

Post a Comment