Sunday, 8 April 2012
SUPP akan calonkan Peter Chin dan Sebastian Ting bagi mewakili BN di Parlimen Miri
Sebastian, Ahmad Lai, Chin, Lee dan pemimpin parti komponen BN yang lain mengibarkan bendera mini Jalur Gemilang dan Bendera Barisan Nasional sambil menyanyikan lagu 1Malaysia.
JALAN BRIGHTON, 8 April— Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri akan menghantar dua nama untuk pencalonan bagi Kawasan Parlimen P.219 untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.
“Dua nama tersebut termasuk saya sendiri dan Datuk Sebastian bagi mewakili Barisan Nasional di Parlimen Miri,” kata Ahli Parlimen Miri merangkap Presiden parti, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.
Berucap semasa Majlis Makan Malam Parti Komponen Barisan Nasional (BN) anjuran P.219 di Hotel Parkcity Everly Miri, Chin berkata, dua nama yang dicadangkan tersebut akan dihantar kepada pucuk pimpinan untuk dipertimbangkan.
“Terserah kepada pucuk pimpinan termasuk Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan siapa calon yang akan bertanding.”
“Namun, saya sudi mengundur diri untuk memberi laluan kepada pemimpin muda jika perlu. Buat masa sekarang, saya tiada jawapan yang muktamad kerana ia terserah kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk menentukan calon,” katanya.
Chin memberitahu, keputusannya untuk mencadangkan nama Datuk Sebastian sebagai calon untuk Parlimen Miri adalah tepat kerana beliau sudah melibatkan diri dalam bidang politik lebih lapan tahun yang lalu.
“Sejak membabitkan diri dalam politik, Sebastian memberikan usaha dan kerja yang cemerlang dalam membantu kerajaan hingga ke peringkat akar umbi untuk berkhidmat kepada rakyat.”
Meskipun beliau mungkin tidak bertanding lagi, Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air beri jaminan tidak akan membiarkan Miri dikalahkan oleh parti pembangkang, sebaliknya terus bekerjasama membangunkan kemudahan dan infrastruktur di sini.
Mengenai persiapan PRU Ke-13, Chin menyeru semua parti komponen BN agar terus bekerjasama dengan mengukuhkan perpaduan untuk kemenangan besar di Miri.
“Mengatakan menang memang mudah, namun kita perlu mencari formula dan strategi terbaik untuk menghadapi PRU-13. Sehubungan itu, semua jentera BN di peringkat akar umbi perlu merapatkan barisan untuk mencapai satu kemenangan,” katanya.
Chin turut menyeru parti komponen BN bergerak dan bersiap sedia sebagai satu pasukan untuk membaiki kelemahan d strategi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011.
“Kita perlu mengatasi defisit lebih 5,000 pengundi di kawasan Parlimen Miri semasa PRN 2011. Kita belajar dari kesilapan itu dan tampil dengan strategi yang lebih baik dan cekap untuk PRU Ke-13 nanti.”
Sementara itu, kira-kira 500 tetamu menghadiri majlis makan malam antaranya wakil dari SUPP, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawalk (PRS).
Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang, pengerusi penganjur merangkap Setiausaha Politik Chin, Datuk Sebastian Ting, Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin, Pengerusi SUPP Pujut Andy Chia Chu Fatt.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment