Tuesday 29 March 2011

Kerajaan peruntuk RM115j naik taraf jalan di Miri

by Steve Annuar. Posted on March 22, 2011, Tuesday

BN tunaikan janjinya untuk mengatasi masalah kesesakan sejak awal bulan ini, kata Dr Chan



BN BOLEH: (Dari kiri) Andy, Chan, Lee, Sebastian dan Hubert menunjukkan tanda bagus di hadapan papan tanda projek JKR yang diletakkan di simpang masuk ke Pujut Tujuh.

MIRI: Kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan janjinya memperbaiki masalah kesesakan di bahagian utara Miri dengan mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM115 juta untuk projek menaik taraf jalan Pujut, Tudan, Kuala Baram yang dilaksanakan bermula bulan ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata beliau akan memastikan projek tersebut siap lebih cepat daripada jadual yang dirancangkan untuk memastikan masalah kesesakan yang membelenggu lebih 100,000 penduduk sekali gus membuktikan keupayaan BN menyelesaikan isu berkenaan.

Bahagian utara Miri juga merupakan pusat industri khasnya di Kuala Baram dan kawasan estet perumahan baru dibangunkan oleh kerajaan dan swasta seperti Vista Perdana, Permyjaya, Desa Indah dan Desa Pujut.

Projek dijadual siap pada 10 April 2013 melibatkan tempoh selama 24 bulan.

“Ini merupakan permintaan segera kita kepada kerajaan pusat. Penduduk mengadu tentang masalah kesesakan yang teruk di kawasan ini.

“Dalam beberapa bulan lalu kita bekerja keras untuk memastikan projek ini dilaksanakan. Saya berterima kasih kepada kerajaan pusat, JKR (Jabatan Kerja Raya) dan Kementerian Kewangan kerana meluluskan peruntukan bagi projek ini,” katanya.

“Saya sendiri telah mengemukakan masalah ini kepada Perdana Menteri kita dan beliau juga mengambil berat dengan masalah kita ini,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak projek itu antara syarikat kontraktor Pekerjaan Piasau Konkerit Sdn Bhd (anak syarikat Kumpulan Syarikat Shin Yang) dan JKR Sarawak semalam.

Shin Yang diwakili Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Ling Chiong Ho sementara JKR diwakili oleh Pengarahnya, Datuk Hubert Thian.

Majlis disaksikan oleh Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air yang juga Ahli Parlimen Miri Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Datuk Seri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Datuk Lee Kim Shin, penyandang kerusi DUN Pujut Andy Chia dan Setiausaha Politik Sebastian Ting.

Chan memberitahu, kerajaan telah merancangkan projek berkenaan dalam Rancangan Malaysia KeSembilan (RMK-9) untuk mengatasi masalah kesesakan khasnya dari bulatan Pujut Tujuh ke Tudan dan Kuala Baram yang dilaksanakan secara berperingkat mengikut jumlah peruntukan yang diterima.

“Ini bukan projek baru. Kita telah merancangkan projek ini sejak 10 tahun lalu. Projek besar tidak datang dengan mudah. Ianya memerlukan masa dan wang untuk dilaksanakan,” jelas Chan.

Usaha menaik taraf jalan ini dirancangkan dalam Pelan Trafik Jangka Panjang Miri merangkumi projek laluan rentas iaitu Bypass Pujut menerusi Eastwood Valley.

Laluan yang terlibat dalam pelan ialah Taman Marina, jejambat SetiaRaja Manai (Puchong), jejambat Pujut, Jalan Pujut-Lutong, Jalan Pujut-Kuala Baram dan Jambatan ASEAN Kuala Baram.

Dalam pada itu, kerja-kerja menaik taraf jalan Pujut, Tudan dan Kuala Baram kepada jalan berkembar akan terbahagi kepada dua seksyen.

Seksyen pertama ialah laluan Pujut Tujuh/Jalan Tudan sejauh 3.2 km melibatkan kerja-kerja menukar bulatan pujut kepada simpang lampu isyarat dan pembinaan jambatan selari.

Seksyen kedua ialah jalan Tudan/Kuala Baram sejauh 11.2 km melibatkan kerja-kerja memperbaiki lima simpang sedia ada dengan meletakkan isyarat trafik, bulatan baru dan menaik taraf keadaan jalan.

No comments:

Post a Comment