Tuesday 29 March 2011

Pembangkang tiada perasaan

by Steve Annuar. Posted on March 21, 2011, Monday

Hasrat mereka hanya mahu merampas Sarawak bukan sayangkan negeri ini: Dr Chan

MIRI: Parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia tidak mempunyai perasaan kasih sayang yang mendalam terhadap negeri Sarawak kerana mereka hanyalah orang luar yang mahu merampas pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Parti luar yang dimaksudkan oleh beliau ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang datang ke negeri ini untuk merubah pentadbiran BN yang selama ini berjaya membentuk dan membangunkan Sarawak.

“Mereka bukanlah anak jati Sarawak. Mereka orang luar. Mereka tidak sayangkan Sarawak seperti kita (pemimpin BN kelahiran Sarawak. Mereka datang untuk merampas kuasa kita (BN).

“Jika mereka nak lawan, kita akan lawan betul-betul. Dan jika mereka mahu tolak kita, kita akan tolak mereka jauh-jauh,”tegas beliau lagi yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Dr Chan berkata demikian pada majlis perlantikan ahli-ahli baru SUPP cawangan Senadin di Dewan Suarah di sini, petang semalam.

Dr Chan yang akan mewakili BN untuk kerusi Piasau memberitahu, SUPP serta parti komponen BN lain iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) bakal berdepan ‘perlawanan’ yang getir dalam pilihan raya tahun ini.

Kemunculan parti-parti pembangkang yang baru khasnya dari luar Sarawak tidak harus dipandang ringan oleh parti BN untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang dipertandingkan.

“Sekarang merupakan tempoh yang sukar untuk kita. Oleh itu kita (SUPP) perlu bekerja dengan lebih kuat lagi jika kita mahu menang semula,” tegasnya.

Menurut Dr Chan lagi, kemasukan ahli-ahli baru dalam setiap cawangan SUPP membantu memperkuatkan tenaga dan jentera SUPP untuk berdepan pembangkang dalam kempen pilihan raya kelak.

Pertambahan ahli baru telah menyuntik semangat baru kepada SUPP untuk menjadi parti yang lebih kuat dan berani menentang parti pembangkang.

Terdahulu, Ahli Parlimen Miri yang juga Setiausaha Penganjur SUPP, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui memberitahu, kemasukan ahli baru akan memberi sumber tenaga baru untuk mempersiapkan SUPP berdepan pilihan raya negeri dan umum yang akan datang.

“Ahli baru penting untuk parti. Jika kita tidak ada ahli baru, kita akan menjadi seperti separuh mati. Ahli-ahli baru perlu sentiasa ada untuk memastikan parti terus hidup. Tanpa darah baru (ahli baru), parti tidak akan dapat berkembang dengan baik,” jelas Chin lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Chin memberitahu kerajaan pimpinan BN sentiasa mengotakan janjinya untuk menjaga kebajikan dan memberi pembangunan kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat agar tidak mudah tertipu dengan janji-janji manis pembangkang yang bertujuan untuk meraih undi mereka pada pilihan raya sahaja.

Dalam pada itu, Pengerusi SUPP Senadin, Datuk Lee Kim Shin memberitahu seramai 600 ahli baru menganggotai cawangan itu menjadikan jumlah ahli seramai lebih 5,000 orang.

“Saya mengingatkan kepada anda (ahli) untuk sentiasa mengingatkan rakan dan saudara anda supaya turun mengundi semasa hari pengundian kelak.

“Bagi yang berada di Tudan dan Kuala Baram yang mengundi untuk kerusi Piasau dan Pujut, sila maklumkan kepada mereka yang kita akan menyediakan bantuan pengangkutan untuk mereka,” jelasnya.

Lee meminta ahli untuk bekerja lebih keras dalam tempoh beberapa minggu ini dan mempersiapkan diri mereka untuk berdepan cabaran-cabaran baru dari pembangkang.

Hadir sama ialah calon untuk kerusi Pujut, Andy Chia, Setiausaha Politik Datuk Sebastian Ting dan Datuk Bandar Lawrence Lai.

No comments:

Post a Comment