PUSAT BANDAR, 21 Januari – Baazar Tahun Baharu Cina yang memasuki edisi ke-10 tahun ini merupakan satu lagi keunikan di Miri kerana ia menghimpunkan masyarakat berbilang kaum di bandar raya ini, kata Ahli Parlimen Miri Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.
Beliau berkata, penganjuran baazar oleh Dewan Perniagaan Cina dan Industri Miri (DPCIM) dan Majlis Bandaraya Miri saban tahun perlu dipuji kerana ia bukan sahaja memeriahkan sambutan menjelang perayaan Tahun baharu Cina namun memberi peluang kepada peserta menambah sumber pendapatan.
“Baazar ini untuk semua kaum seperti Cina, Iban, Melayu dan ia baik untuk mengembangkan ekonomi di Miri. Saya berharap baazar ini dapat diteruskan pada tahun mendatang atas semangat perpaduan dan 1Malaysia,” katanya semasa perasmian Baazar Tahun Baharu Cina di perkarangan Pejabat Residen malam tadi.
Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata, acara itu juga turut menarik rakyat dari negara jiran seperti Brunei untuk datang ke Miri.
Hadir sama Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Politik, Dato’ Sebastian Ting dan Datuk Bandar Miri, Lawrence Lai.
Acara perasmian malam tadi dimeriahkan dengan persembahan tarian singa dan pertunjukkan bunga api.
Lebih 1,000 orang awam tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan sambil membeli-belah di gerai-gerai yang menjual pelbagai makanan dan kelengkapan Tahun Baharu Cina.
No comments:
Post a Comment